Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 21.10.2017 di Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 21.10.2017 di Pulau Pinang

Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang

Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang ke atas tragedi kemalangan di tapak pembinaan di Tanjung Bungah semalam akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikut kuasa kami di bawah Seksyen 2(3)(d) dan 3(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Penubuhan dan terma rujukan akan dilaksanakan dan diluluskan dalam Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri yang akan datang minggu depan.

Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang ini akan ditubuhkan mengikut garis panduan yang sama seperti Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 2013 ketika susur pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh pada 6 Jun 2013 yang mengorbankan seorang penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut, dan runtuhan Menara UMNO di Jalan Macalister pada 13 Jun 2013 yang telah mengorbankan dua nyawa orang awam.

11 nyawa pekerja pembinaan tersebut hilang, semuanya milik sebuah syarikat kontraktor bangunan, seorang penyelia tapak pembinaan warganegara Malaysia dan 10 pekerja warga asing. Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa warganegara Malaysia daripada Pulau Pinang serta Kerajaan Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang ini akan menjalankan siasatan penuh dan bebas untuk menentukan punca sebenar kejadian kemalangan di tapak pembinaan tersebut dan tindakan akan diambil kepada mereka yang bertanggumgjawab. Saya juga akan mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan ini diberi kuasa untuk menyiasat semua perkara sampingan yang berkaitan dengan projek tersebut.
Sesuatu yang ‘bermasalah’ mungkin wujud ketika kerja-kerja pembinaan di tapak tersebut kerana tiada hujan berlaku untuk beberapa hari lepas yang boleh menyebabkan cerun tersebut runtuh. Walaupun kami tidak berhasrat untuk membuat sebarang spekulasi, kecurigaan yang kuat wujud terhadap pengabaian kerja-kerja profesional, kecatatan dalam kerja-kerja pemantauan dan ketidakpatuhan prosedur keselamatan pekerja.

Sehingga Suruhanjaya Siasatan melengkapkan siasatan dan menjumpai sebabnya, pemaju tidak akan dibenarkan memulakan kerja pembinaan projek rumah mampu milik. Kontraktor bangunan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan akan disenarai hitam oleh MBPP, bersama-sama dengan mana-mana pakar perunding yang terlibat secara langsung, sementara menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga telah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan segera dan mengambil tindakan ke atas tapak pembinaan bangunan, terutamanya di kawasan cerun, bagi memastikan semua garis panduan dipatuhi untuk memastikan bukan hanya keselamatan bangunan, tetapi juga untuk kestabilan struktur bangunan. Kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba (termasuk pasukan SMART), Jabatan Pertahanan Awam,pihak polis,agensi kerajaan tempatan dan persatuan NGO Buddha Tzu Chi atas bantuan yang diberikan dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat dan bantuan. Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas keprihatinan mereka, dan kami berharap agar mereka dapat memberi ruang kepada ahli keluarga yang terlibat dan membenarkan kerja-kerja bantuan dan menyelamat dapat diteruskan.

LIM GUAN ENG

By | 2017-10-22T11:19:17+00:00 October 22nd, 2017|Media Statements|Comments Off on Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 21.10.2017 di Pulau Pinang

About the Author: