Kenyataan Media YB Tuan Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 15 November 2017 (Rabu), Jam 11.00 pagi di KOMTAR, George Town, Pulau Pinang

Tabung bencana taufan dan banjir Pulau Pinang yang dilancarkan oleh DAP Pulau Pinang telah berjaya mengutip dana sebanyak RM8.22 juta dan banyak lagi barang keperluan bencana setakat hari ini, 15 November 2017 (Rabu) pada jam 9.00 pagi. Selepas penyerahan dana yang berjaya dikutip melalui tabung ini iaitu sebanyak RM5 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 9 November 2017, DAP Pulau Pinang akan menyerahkan lagi dana sebanyak RM3 juta kepada Kerajaan Negeri pada hari ini. Baki kutipan tabung tersebut akan diserahkan sepenuhnya juga kepada Kerajaan Negeri selepas akaun tabung tersebut ditutup secara rasmi.*

Setakat jam 9.00 pagi hari ini, sebanyak RM8,220,694.30 dan bekalan keperluan bencana telah diterima melalui Tabung Bencana Taufan dan Banjir Pulau Pinang yang dilancarkan oleh DAP Pulau Pinang. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan menghulurkan bantuan kepada Pulau Pinang. Atas sokongan mereka, Pulau Pinang dapat mengembali kepada keadaan asal dalam masa yang singkat dan rakyat Pulau Pinang dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.

Selepas penyerahan jumlah kutipan yang bernilai RM5 juta pada 9 November yang lalu, jumlah penyerahan yang telah dibuat oleh DAP Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri telah mencecah RM8 juta selepas penyerahan RM3 juta pada hari ini.

Tabung bencana yang dilancarkan ini akan ditutup secara rasmi pada hari ini, iaitu 15 November 2017 dan sebarang kutipan derma akan dihentikan. Pihak kami juga akan menutup akaun bank tersebut selepas semua cek telah diproses dan deposit ke dalam akaun tersebut dan menyerahkan kesemua baki dana kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Untuk pihak yang masih ingin menyumbangkan dana bagi membantu mangsa ribut dan banjir di Pulau Pinang, mereka boleh berbuat demikian melalui tabung bencana khas yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti berikut:

Bantuan Banjir Pulau Pinang
Maybank 5570-5461-6881

Selain daripada itu, Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang telah menghentikan operasi kutipan barangan keperluan bencana. Bagi pihak yang ingin menyumbang dari segi barangan keperluan bencana, bekalan tersebut boleh disalurkan ke Pusat Depot Barangan Bantuan Bencana yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Silver Jubilee Home, Sungai Dua bagi kawasan Pulau dan Bomba Sukarela Raja Uda, Butterworth bagi kawasan Seberang Perai. Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Silver Jubilee Home (Dewan Badminton) – Jalan Sungai Dua, 11700 Pulau Pinang
(Hubungi: 016-497 4019, 012-423 0719, 016-445 3155)
Bomba Sukarela Raja Uda – Lot 293, Raja Uda, 12300 Butterworth
(Hubungi: 04-324 7263, 016-474 3181, 012-504 2222)

Ketika Pulau Pinang dilanda bencana, pimpinan dan ahli DAP serta rakyat Malaysia berbilang kaum dari seluruh pelusuk Malaysia telah mengambil inisiatif sendiri untuk datang ke Pulau Pinang dan membantu dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang dilanda ribut dan banjir. Menerusi usaha sebanyak 10,000 ribu sukarelawan di seluruh Pulau Pinang pada 11 dan 12 November 2017, kami telah berjaya membersihkan kebanyakan kawasan yang terlibat dan hampir 10,000 tan sampah sarap telah dikumpul dan dibersihkan. Atas usaha ini, kawasan-kawasan terlibat di kedua-dua Pulau dan Seberang Perai telah hampir dibersihkan secara keseluruhan.

Kami ingin merakamkan penghargaan kami kepada semua sukarelawan dari DAP dan semua rakyat Malaysia yang telah menonjolkan makna sebenar “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” bagi memulihkan Pulau Pinang. Ayuh kita bangkit bersama-sama, Pulau Pinang bangkit!

*Chow Kon Yeow*

By | 2017-11-15T05:03:47+00:00 November 15th, 2017|Achievements|Comments Off on Kenyataan Media YB Tuan Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 15 November 2017 (Rabu), Jam 11.00 pagi di KOMTAR, George Town, Pulau Pinang

About the Author: