Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada tengah hari ini telah mengadakan mesyuarat terakhirnya buat kali yang ke-215 sejak 5 Mei 2013. Sepanjang lima (5) tahun menerajui Negeri Pulau Pinang sejak memenangi Pilihanraya Umum Ke-13 pada 5 Mei 2013, semua Ahli EXCO termasuk saya, serta barisan Ex-Officio yakni YB Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Pegawai Kewangan Negeri dan YB Penasihat Undang-undang Negeri; ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Pulau Pinang, kerana memberikan kami peluang untuk memimpin Pulau Pinang dan berkhidmat untuk rakyat.

 

  1. Kami sayang Pulau Pinang dan bersama-sama rakyat negeri ini, kami telah mencatatkan 13 rekod unik dalam Dewan Undangan Negeri Ke-13 seperti berikut:

 

  1.  Negeri berintegriti dan bersih dengan pengisytiharaan aset oleh ahli pentadbiran negeri yang dicerminkan melalui lebihan Belanjawan tahunan setiap tahun, di mana “keuntungan terkumpul” bagi sepuluh (10) tahun berturut-turut adalah sebanyak RM719.3 juta, jauh melebihi prestasi 50 tahun di bawah pemerintahan Kerajaan lama iaitu sebanyak RM373 juta.

 

  1. Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% dan merupakan negeri yang mempunyai jumlah hutang yang terendah di Malaysia iaitu sebanyak RM62.06 juta pada 2017.

 

iii.        Berjaya menjadikan Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai negeri terkotor di Malaysia atau ‘Pulau Pinang Darul Sampah’, kepada antara bandaraya yang paling bersih di antara negara-negara ASEAN.

 

  1. Satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah mengenakan catuan air, dan kami memberikan jaminan tidak akan berlaku catuan air untuk sepuluh (10) tahun akan datang. Pada masa yang sama, rakyat Pulau Pinang juga dapat menikmati kadar tarif domestik air terendah di Malaysia dengan kadar bayaran 32 sen setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama, berbanding dengan kadar yang dikenakan di Negeri Johor iaitu RM1.32 bagi jumlah yang sama.

 

  1. Satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah menebang hutan simpan kekal walaupun seinci dalam tempoh sepuluh (10) tahun ini, berbanding dengan negeri-negeri lain yang telah menebang 544,011 hektar hutan simpan kekal mereka.

 

  1. Negeri Berkebajikan dengan pemberian wang tunai melalui pelbagai program rakyat dengan perbelanjaan melebihi RM412.6 juta dan juga menghapuskan miskin tegar.

 

vii.        Negeri Keusahawanan dengan jumlah pelaburan meningkat 90%, pertambahan penerbangan baru dan penerbangan terus daripada Doha, Hanoi, Ho Chi Minh dan Hainan, telah mendorong bilangan pelancong meningkat kepada lebih 100% berbanding Kerajaan lama.

 

viii.        Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 38% berbanding dengan kadar kitar semula negara iaitu sebanyak 22%.

 

  1. Pulau Pinang adalah di antara negeri yang paling selamat di Malaysia dengan pemasangan hampir 1,000 buah CCTV di seluruh negeri.

 

  1. Memberikan peruntukan tahunan untuk sekolah-sekolah agama dan ibunda, serta memperluaskan pendidikan STEM dan juga Revolusi Industri 4.0, termasuk pembinaan Perpustakaan Digital yang pertama di Malaysia di kawasan Pulau dan Seberang Perai.

 

  1. Berjaya mentransformasikan projek yang gagal di bawah pentadbiran lama seperti Bukit Bendera, Pusat Konvensyen SPICE, pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Majestic dan bangunan KOMTAR kepada projek berjaya.

 

xii.        Membina 25,555 buah rumah kos rendah (RM42,000) dan rumah kos sederhana rendah (RM72,500) iaitu lima (5) kali ganda lebih banyak daripada jumlah 5,154 buah rumah yang dibina oleh Kerajaan lama.

 

xiii.        Memartabatkan Islam dengan meningkatkan peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak 84% serta peruntukan kepada agama-agama lain dengan mengiktiraf statusnya.

 

  1. Kami percaya bahawa masih terdapat banyak lagi urusan serta kerja yang menanti untuk disempurnakan. Akan tetapi, telah tiba masanya untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat semula. Ekoran daripada pembubaran Parlimen oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada Sabtu lepas, kami menghormati Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan prinsip demokrasi, dengan menyerahkan balik kepada rakyat Pulau Pinang untuk menentukan sama ada mahu memilih kami semula sebagai Kerajaan Negeri ataupun parti lain sebagai Kerajaan baru. Kami akan akur dan menghormati apa jua keputusan rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang bersih.

 

  1. YAB Perdana Menteri telah membubarkan Parlimen pada 7 April 2018 dan beliau telah mengutuskan surat kepada saya untuk meminta pembubaran Dewan Undangan Negeri dijalankan supaya pilihanraya umum untuk Parlimen dan Negeri boleh dijalankan serentak.

 

  1. Bagi menyahut saranan YAB Perdana Menteri tersebut, pada pagi ini saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas di Seri Mutiara berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Saya bersyukur Tuan Yang Terutama Tun telah memberikan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang akan berkuatkuasa pada 10 April 2018.

 

  1. Saya telah membuat syor yang serupa kepada Mesyuarat EXCO sebentar tadi, yang mana telahpun meluluskannya sebulat suara. Surat pembubaran akan dihantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang oleh
    YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri pada hari ini untuk pembubaran hari esok.

 

 

LIM GUAN ENG