MMK Negeri Pulau Pinang telah bermesyuarat pagi ini dan melahirkan perasaan kesal terhadap tindakan siasatan oleh PDRM ke atas YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana menyanyi dan menari serentak dengan sebuah lagu yang mempersendakan Goods and Services Tax (GST) di bawah Section 233 Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) Act yang membawa denda tidak melebihi RM 50,000, penjara tidak melebihi setahun atau kedua-dua sekali.

Sungguhpun sesiapa boleh buat kritikan samada lagu sebegini patut dinyanyikan dalam satu program yang dihadiri juga oleh kanak-kanak dalam Perumahan Kos Rendah Mutiara Idaman 2, Jelutong, adalah melampau untuk dikenakan tindakan siasatan jenayah hanya kerana menyanyi dan menari serentak dengan lagu mempersendakan GST. Adalah mengejutkan juga YAB Ketua Menteri menghadapi satu tindakan jenayah yang boleh menghilangkan kelayakan beliau menjadi wakil rakyat dan seterusnya jawatan Ketua Menteri untuk sesuatu yang boleh dianggap remeh.

 

Samada siaasatan adalah bermotif politik atau suatu penyalahgunaan kuasa untuk mengganggu YAB Ketua Menteri dalam tugas rasminya atau menjejaskan kesiapsiagaan beliau bagi pihak Pakatan Harapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, terpulanglah kepada rakyat untuk menentukannya. Tetapi adakah timbul double-standard di mana hanya YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang diambil keterangan untuk sebarang laporan polis terhadapnya sedangkan laporan polis ke atas Menteri atau Menteri Besar BN tidak perlu sama sekali?

 

Jelas sekali tindakan sedemikian diambil semata-mata kerana pendirian tegas YAB Ketua Menteri menentang GST dan mahukan ia dihapuskan. MMK membuat keputusan untuk menyokong sepenuhnya YAB Ketua Menteri dalam pendirian beliau menentang GST dan menghadapi sebarang tindakan oleh pihak kerajaan BN.

 

DATO HJ MOHAMAD RASHID BIN HASNON